KUCHING, 16 Mei : Seorang guru wanita berdepan detik cemas apabila dua lelaki ‘bertopeng’ memecah masuk ke dalam rumahnya di Kampung Jawa Sungai Menaung, Serian, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira – kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berusia 48 tahun terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi bising di dapurnya.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Aswandy Anis berkata, guru itu terkejut apabila mendapati seorang lelaki yang menutup kepala dengan baju berada di kawasan dapur dengan memegang sebilah pisau kecil.
“Mangsa kemudian menjerit meminta tolong namun dia sempat menarik penutup kepala suspek sehingga tertanggal,”katanya menerusi kenyataan media.
Aswandy memberitahu, suspek bersama seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri.
Katanya, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Menaul dan berjaya menahan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas senjata dan pakaian yang digunakan oleh kedua – dua suspek,”katanya.
Ujarnya ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati mereka berdua positif dadah jenis syabu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,”katanya. -TVS