KUALA LUMPUR, 16 Mei : Proses pengundian bagi Pemilihan PKR 2022 di cabang Bayan Baru, Pulau Pinang mengalami situasi sedikit tegang ekoran perang mulut antara perayu-perayu undi di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, situasi tersebut berjaya dikawal dalam tempoh yang singkat.
Cabang berkenaan melibatkan pertembungan dua penjuru antara Pengerusi Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.
Abdul Halim ketika dihubungi berkata insiden itu berpunca daripada provokasi antara perayu undi, namun tiada sebarang kekecohan melampau yang berlaku.
“Tiada kekecohan dan pergaduhan fizikal berlaku. Perkara biasa setiap kali proses pengundian akan ada berebut pengundi, tetapi tiada provokasi kerana kita semua dari parti yang sama,” katanya.
Baca lagi > > > Perang mulut pemilihan PKR di Kedah, Johor lancar
Baca lagi > > > TERKINI : PKR kalah di kesemua 27 kerusi yang ditandingi ?
Sementara itu, Pengerusi PKR negeri Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata proses pengundian melibatkan 12 cabang lain berjalan lancar iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor dan Balik Pulau.
Pengundian pemilihan parti itu memasuki hari keempat hari ini melibatkan Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka selain Pulau Pinang.
Di PERLIS, beberapa isu dibangkitkan calon bertanding antaranya melibatkan jarak pondok panas dan kes ‘kecurian’ ahli jawatankuasa (AJK) pasukan bertanding.
Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Perlis Abdul Rahman Hamzah bagaimanapun berkata isu-isu berkenaan telah diatasi, hasil perbincangan semua pihak dan proses pengundian di tiga cabang berlangsung dengan lancar tanpa berlaku sebarang provokasi atau pergaduhan.
Di NEGERI SEMBILAN, lebih 6,000 ahli PKR mendaftar untuk mengundi secara fizikal di lapan cabang iaitu Port Dickson, Jempol, Rembau, Rasah, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Jelebu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata negeri berkenaan merupakan antara negeri tertinggi mencatatkan pendaftaran pengundi dalam talian, yang dilaksanakan mulai 18 Mei.
Di MELAKA, proses pengundian fizikal di enam cabang iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin, Masjid Tanah dan Kota Melaka juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, menurut Pengerusi PKR negeri Datuk Halim Bachik.
Ahli PKR di enam negeri sebelum ini selesai melaksanakan proses pengundian fizikal melibatkan Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, Pahang dan Wilayah Persekutuan.
Pemilihan PKR 2022 akan diteruskan esok, dengan pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara, diikuti undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya dari 18 hingga 20 Mei, sementara pengundian fizikal di Selangor akan diadakan pada 21 Mei manakala Perak, Sabah serta Sarawak pada 22 Mei. -TVS