KUCHING, 16 Mei : Aspek kebersihan diri dan persekitaran sangat penting bagi mengelak dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) , kata Penolong Pegawai Perubatan, Bellary Collin.
Petugas di Klinik Long Banga itu berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak-anak mereka sentiasa mempraktikkan amalan kebersihan yang baik.
Pada masa sama, Bellary turut menasihatkan agar ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda awal penyakit HFMD agar tidak merebak.
“Amalan kebersihan yang baik akan dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti HFMD.
“Berikutan situasi penyakit ini yang sedang menular sekarang, masyarakat perlu bersatu hati menjaga kebersihan diri agar sentiasa dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau memberitahu, kanak-kanak merupakan golongan yang sangat berisiko untuk dijangkiti HFMD kerana imuniti badan yang lemah berbanding golongan dewasa.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah kes HFMD di seluruh negara menunjukkan peningkatan yang ketara.
Sejumlah 28,957 kes dilaporkan bagi tempoh antara Januari hingga 13 Mei 2022 berbanding hanya 4,239 kes sahaja bagi keseluruhan tahun lepas. – TVS