SIBU, 13 Mei : Seorang lelaki cedera dipercayai akibat terkena tembakan senapang patah oleh rakannya ketika sedang memancing di Hutan Ulu Sungai Salim, dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun cedera di bahagian leher, lengan kanan dan dagu.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama abang dan seorang rakan pergi berburu dan memancing di lokasi itu pada pukul 11.00 malam, Rabu lepas.
“Ketika kejadian mangsa sedang memancing berseorangan di Sungai Salim manakala abang dan rakan mereka berburu di kawasan hutan berhampiran,”katanya menerusi kenyataan media.
Beliau memberitahu, abang mangsa yang menyedari adiknya terkena tembakan kemudian membawa pulang lelaki itu ke rumah sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Zulkipli berkata, polis telah menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan kes itu.
Difahamkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 37 serta Seksyen 39 akta yang sama.-TVS