KUCHING, 12 Mei: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) menganjurkan pertandingan mencipta logo dan video pendek sempena Sambutan Jubli Emas SABERKAS yang ke-50 bermula tahun ini dan berakhir pada Disember 2023.
Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan untuk kedua-dua pertandingan tersebut bernilai RM39,000.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua yang berminat, sama ada mereka ahli ataupun bukan, di mana mereka mesti mematuhi syarat penyertaan yang telah ditetapkan.
“Penyertaan untuk pertandingan ini adalah melalui imbasan QR Code yang telah disediakan dan diisi melalui Google Form,” katanya pada sidang media.
Abdul Rahman berkata demikian pada sidang media khas Pertandingan Mencipta Logo dan Pertandingan Mencipta Video Pendek Sempena Sambutan Jubli Emas SABERKAS pada Khamis.
Dalam pada itu, menurut Setiausaha Agung SABERKAS, Shafie Ahmad, logo dan video yang memenangi pertandingan itu nanti akan menjadi logo dan video rasmi untuk program-program SABERKAS selepas ini.
“SABERKAS memang sudah ada logo, cuma pertandingan ini kita nak buat logo tambahan sempena Sambutan Jubli Emas yang ke-50 nanti,” kata Shafie Ahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro.
Penyertaan bagi kedua-dua pertandingan tersebut dibuka mulai 12 Mei 2022 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 Jun 022 bagi logo, dan 30 Julai 2022 untuk kategori video pendek.
Johan pertandingan mencipta logo akan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta sijil kemenangan, sementara johan bagi kategori video pendek pula akan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil kemenangan.
Bertemakan ‘Sambutan Jubli Emas SABERKAS’, Abdul Rahman berharap orang ramai yang mempunyai kreativiti akan turut menyertai pertandingan anjuran SABERKAS ini. – TVS