KUCHING, 7 Mei : Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberi keyakinan bahawa gabungan itu ‘tidak akan memberikan ruang’ kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Tegasnya kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam juga jelas membuktikan GPS tidak akan memberi ruang kepada mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan gabungan itu.
“Kenyataaan daripada Premier Sarawak sebagai Pengerusi GPS sudah jelas dan beberapa kenyataan sama telah dibuat sebelum ini.
“Jadi memang itu adalah satu pendirian GPS buat masa sekarang,”katanya kepada TVS.
Alexander Nanta berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abang Johari yang juga Pengerusi GPS bahawa mereka akan meletakkan calon di kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU-15 ini.
Kenyataan Abang Johari sekaligus memberi petanda bahawa pertembungan GPS dengan Bersatu di kerusi Parlimen Puncak Borneo pada PRU-15 ‘sukar dielakkan’ selepas penyandangnya, Datuk Willie Mongin sebelum ini turut menyatakan beliau bersedia mempertahankan kerusi itu.
Sementara itu, ketika ditanya sekiranya Bersatu mahu ‘bergabung’ dengan GPS pada PRU-15, Alexander Nanta berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan Pengerusi GPS.
“Itu saya tidak boleh buat andaian sekarang, sebaiknya kita ambillah kenyataan yang telah dinyatakan Premier Sarawak,” katanya.
Kepada soalan tentang persiapan GPS menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, jentara GPS juga diatur.
Tahun lepas, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa akan bekerjasama dengan Gabungan GPS pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Muhyiddin berkata persefahaman telah dicapai semasa pertemuan dengan Abang Johari Openg beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri.
Bersatu telah memberi laluan kepada GPS dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak yang lalu, dengan tidak bertanding.
Muhyiddin turut berharap langkah itu akan memberi laluan kepada GPS untuk bekerjasama dengan bersatu pada pilihan raya umum ke-15.
Bersatu kini memegang dua kerusi parlimen di Sarawak Puncak Borneo dan Saratok.
Kedua-dua kerusi ahli parlimen itu dipegang oleh bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) , di mana Datuk Willie Mongin merupakan ahli Parlimen Puncak Borneo dan Ali Biju sebagai ahli Parlimen Saratok.- TVS