Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijah Pada 10 Julai
Gambar hiasan

Ahli falak perjelas isu sambutan Aidilfitri lebih awal

KUALA LUMPUR, 7 Mei : Penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei lalu dilakukan menggunakan kaedah pengesanan anak bulan yang baharu dimana beberapa kriteria yang sebelum ini digunapakai, telah diubah bermula Oktober 2021.

Menurut Felo Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Univeriti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kassim Bahali, perubahan ini meliputi beberapa kriteria di dalam kaedah Imkanur Ruqyah, sebuah garis panduan bahawa anak bulan dianggap ada jika memenuhi syarat – syarat tertentu.

“Perubahan ini dilakukan ekoran beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti dalam kaedah Imkanur Ruqyah terdahulu, dimana ahli falak menetapkan ketinggian anak bulan adalah tidak kurang 2 darjah dan jarak lengkungnya 3 darjah.

“Kaedah ini telah digunakan sejak sekian lama iaitu pada tahun 1992 sehingga 2021,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan topik, ‘Penentuan Takwim Hijrah Amalan Di Malaysia’ di sini semalam.

Namun jelasnya pada Oktober tahun lalu atau bersamaan dengan Awal Muharram 1443, beberapa kriteria baharu telah diperkenalkan dimana ketinggian anak bulan daripada ufuk adalah tidak kurang daripada 3 darjah dan jarak lengkung antara bulan dan matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah.

“Kalau kedua dua syarat ini maka kita katakan hilal itu ada di atas ufuk dan sudah cukup untuk kita memulakan Ramadan atau Syawal sekiranya cukup syaratnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia berkata kaedah ini turut digunakan empat negara di bawah Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).

“Kenapa kita beralih daripada kriteria 1992 ke kriteria baharu. Sebabnya adalah seperti yang ditunjukkan dalam grafik ini. Ada tiga kelemahan dia iaitu pertama semasa kita tengok anak bulan pada hari ke-29 Ramadan, ijtimak belum berlaku.

“Apabila ijtimak belum berlaku tidak mungkin kita dapat melihat hilal (anak bulan) pada petang itu. Kemudian kedua, mungkin juga berlaku pada petang itu kita tengok bulan dah terbenam. Matahari belum terbenam, bulan terbenam dahulu. Jadi kita tengok petang itu tak mungkin nampak,” katanya lagi.

Tambahnya kelemahan ketiga adalah dimana altitud anak bulan terlalu rendah dan terlalu rapat dengan ufuk sekaligus menyukarkan ahli falak untuk melihatnya ekoran terlindung disebalik awan.

Disebabkan kelemahan ini, kriteria baharu diperkenalkan dan ia dilihat lebih berkesan dalam mengesan anak bulan.

Bagi Syawal 1443 Hijrah atau 3 Mei lalu, anak bulan dapat dilihat di sebuah lokasi di Labuan, manakala 28 lokasi pencerapan yang lain tidak berjaya.

“Sehubungan itu keputusan untuk meraikan Syawal pada 2 Mei telah diterima bagi seluruh negara,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan