MUKAH, 6 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, merangkap Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak, Datuk Dr Juanda Jaya, berasa kesal dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pemandu lori tidak bertanggungjawab yang melanggar undang-undang apabila mereka menggunakan perkhidmatan feri di Feri Batang Igan dan sekitarnya.
Bahkan, katanya, ada lori terlibat yang telah merosakkan bar penanda aras maksimum yang ditetapkan pada feri berkenaan.
Sehubungan itu, Juanda memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemandu lori terbabit kerana merosakkan harta awam dan menyusahkan orang ramai.
Lori terbabit mungkin juga membawa muatan dengan berat melebihi had yang dibenarkan.
“Lori seperti ini patut diharamkan dan tidak dibenarkan menggunakan mana mana feri dan jalan raya di seluruh Sarawak kerana menyusahkan rakyat.
“Kita juga percaya JKR ada kuasa menghukum mereka. Kita juga percaya JPJ juga ada peruntukan kuasa untuk menyaman mereka, dan kita juga percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga ada kuasa.
“Ayuh, penjawat awam yang diamanahkan kuasa oleh pihak kerajaan, ambillah tindakan dengan penuh “sopan santun” sempena semangat hari raya ini agar panas hati rakyat terbela. Anda penjawat awam telah diberikan kuasa dan jawatan oleh pemimpin politik. Maka bertindaklah!” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam beberapa hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Juanda turut memaklumkan, rakyat di sana berasa marah dan berang kerana ada pihak tidak bertanggungjwab yang semakin berani melanggar peraturan awam di kawasan luar bandar berkenaan.
“Ini zaman rakyat menjadi mata dan telinga kerajaan. Kalau mereka ini diambil tindakan tegas, maka jelas mereka tidak kebal. Jika tidak ada tindakan, pasti rakyat menyangka mereka kebal, dan banyak udang galah di sebalik laksa Sarawak!
“Maka ayuh penjawat awam, bertindaklah!” katanya lagi.
Sejurus selepas hantaran tersebut mula tular, pihak PDRM terus bertindak dan turun ke lokasi feri berkenaan dan melakukan pemeriksaan di pangkalan feri tersebut.
Situasi berkenaan difahamkan biasa dialami masyarakat Matu Daro yang sering menggunakan perkhidmatan feri di sana, dan mereka terpaksa pasrah dan redha dengan keadaan tersebut.
Masyarakat di sini berharap agar isu lebihan muatan lori yang menggunakan feri berkenaan dapat diatasi dengan segera kerana ia secara tidak langsung menyusahkan ramai pihak. – TVS