KUCHING, 6 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 yang akan diadakan di Rotterdam, Belanda dari 9 hingga 11 Mei ini.
Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak hari ini, Abang Johari akan menyertai kira-kira 3,500 pemimpin kerajaan dan industri dari seluruh dunia untuk mengenali dan meneroka teknologi hidrogen, aplikasi dan penyelesaian terkini bagi merevolusikan industri tersebut.
Dalam slot selama 20 minit pada Isnin sempena permulaan sidang kemuncak, ucapan Abang Johari sebagai penceramah kedua akan berkisar tentang tema “Mempercepatkan Ekonomi Hidrogen Global: Cara Sarawak” dengan tujuan utama untuk menonjolkan Sarawak sebagai kuasa besar hidrogen di Asia dan juga dalam arena tenaga boleh diperbaharui.
“Sarawak merupakan perintis dalam meneroka ekonomi hidrogen yang membawa kepada penubuhan fasiliti pengeluaran hidrogen pertama di Kuching dan juga menjalani ujian percubaan dua unit bas berkuasa hidrogen di jalan raya Kuching,” jelas kenyataan itu.
Sarawak kini sedang berunding dengan syarikat Korea Selatan dan Jepun yang berminat untuk melabur dalam penubuhan fasiliti pengeluaran di Bintulu bagi mengeluarkan hidrogen hijau dengan prospek pembelian balik oleh negara masing-masing.
Selain itu, Abang Johari juga telah menyatakan bahawa ART (Transit Cepat Autonomi) Bandaraya yang dijadualkan siap pada 2025 juga akan dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen sebagai sebahagian daripada program keseluruhan Sarawak untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau selaras dengan protokol Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 di Glasgow.
Pada sebelah petang Isnin selepas menyampaikan ucaptama, Abang Johari bersama anggota delegasinya dijadualkan untuk melawat pejabat Shell di The Hague di mana beliau akan diberi taklimat oleh eksekutif kanan Shell, yang antara lain mengenai masa depan Shell di Sarawak.
Pada pagi Selasa, delegasi tersebut dijadual bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Rotterdam dan kemudian pada sebelah petang, mereka akan dibawa melawat pusat teknologi Shell di Amsterdam yang mempamerkan teknologi hidrogen dan pelbagai inovasi baharu lain syarikat multinasional itu.
Delegasi kemudiannya akan terbang ke Oslo, Norway untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operasi dana kekayaan berdaulat di Norway, di mana Abang Johari akan menjadikan usaha tersebut sebagai model kepada dana serupa yang bakal ditubuhkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa lebih banyak pulangan kepada lebihan dana Sarawak pada masa hadapan.
Rombongan Premier akan berlepas ke Rotterdam esok dan dijadual tiba di Rotterdam pada jam 7.45 malam waktu tempatan.
Duta Besar Malaysia ke Belanda, Dato’ Nadzirah Osman akan hadir menyambut ketibaan rombongan tersebut di lapangan terbang.
Antara yang mengiringi Premiere ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland bin Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman bin Wan Omar , Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Haji Abdul Aziz Hussain, Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Amar Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datu Haji Sharbini Suhaili. – TVS