MIRI, 6 Mei : Berang selepas mengesyaki isteri menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang lelaki sanggup menumbuk isterinya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Niah dekat sini pada Rabu lepas.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.00 petang itu, lelaki berusia 31 tahun itu turut mengugut untuk membunuh isterinya.
Tindakan lelaki tersebut menyebabkan mangsa mengalami lebam pada bahagian bahu kiri.
Bagaimanapun, perbuatannya mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas laporan dibuat oleh ibunya yang menyedari tentang kejadian itu kerana bimbang mengenai keselamatan diri dan menantunya.
Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata, suspek ditahan sekitar jam 1.15 pagi Jumaat.
Turut dijumpai dan disita adalah sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Menurut Alexson, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes ugutan jenayah dan kes keganasan rumah tangga.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, Seskyen 323 kanun yang sama kerana sengaja mendatangkan kecederaan, dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga. – TVS