ISTANBUL, 4 Mei : Liverpool pada Selasa melangkah ke final Liga Juara-Juara UEFA selepas memperoleh kemenangan ke atas Villarreal dengan agregat 5-2.
Villarreal mendahului dengan gol awal hasil rembatan Boulaye Dia pada minit ketiga dalam perlawanan yang berlangsung di Estadio de la Ceramica, Sepanyol.
Pasukan tuan rumah kemudian terus mendahului dengan jaringan menerusi tandukan pemain tengah Perancis, Francis Coquelin pada minit ke-41, lapor Agensi Anadolu.
Liverpool merapatkan jurang apabila Fabinho menyumbat gol menerusi tendangan jarak dekat pada minit ke-62 sebelum The Reds menyamakan kedudukan hasil tandukan Luis Diaz pada minit ke-67.
The Reds kemudian mendahului pada minit ke-74 apabila Sadio Mane membolosi gawang dengan rembatan kaki kirinya.
Pada minit ke-85, kelab Sepanyol itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Etienne Capoue dilayangkan kad merah. Perlawanan pusingan kedua tamat dengan kedudukan 3-2 memihak kepada Liverpool.
Liverpool akan beraksi bertemu pemenang perlawanan akhir antara Real Madrid atau Manchester City yang akan bermain di Stade de France, Paris pada 28 Mei.
Aksi perlawanan pusingan kedua Real Madrid dan Manchester City akan berlangsung di Stadium Santiago Bernabeu pada Rabu. – TVS