PETALING JAYA, Selangor 4 Mei : Penyerang sensasi muda Luqman Hakim Shamsudin percaya persefahaman yang baik antara pemain dan jurulatih dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara berupaya menghadirkan pingat emas pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.
Beliau berkata persefahaman baik yang dibentuk dalam skuad kendalian Brad Maloney itu dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini memberikan mereka kelebihan apabila berdepan lawan pada temasya dwitahunan itu nanti.
“Harapan saya untuk pasukan ini sudah tentu nak pingat emas, bukan perak atau gangsa, sasaran emas sahaja. Pasukan sudah membuat persiapan terbaik. Kita sudah bermain aksi persahabatan dengan Timor Leste dan Filipina.
“Perlawanan persahabatan ini telah membentuk persefahaman yang baik dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan terakhir skuad negara di Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya semalam (Selasa).
Skuad bimbingan Maloney itu berlepas ke Hanoi hari ini bagi menghadapi saingan di temasya Sukan SEA.
Luqman Hakim berkata walaupun menjangkakan cabaran sengit dalam Kumpulan B, beliau dan rakan sepasukan sudah pasti akan menampilkan prestasi terbaik dengan memberikan fokus seratus peratus dalam setiap perlawanan.
Sementara itu, Maloney berkata walaupun perlawanan yang menanti dilihat sengit, namun jika beliau dapat memperkukuhkan lagi pasukan dalam tempoh beberapa hari ini, beliau percaya pasukan kendaliannya akan lebih mantap di Hanoi.
Beliau berkata sesetengah pemain jelas mempunyai kualiti kepimpinan dan boleh menjadi tonggak untuk membantu Malaysia meraih pingat emas.
“Saya rasa kita mempunyai pemain yang mampu mencorakkan permainan seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Azri Abdul Ghani, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Muhammad Azrin Afiq Rusmini. Saya percaya kesemua pemain ini mempunyai kualiti dan pengalaman.
“Bagi Hadi Fayyadh (Abdul Razak) dan Luqman Hakim pula, saya sangat lega kerana mereka dapat kembali menyertai pasukan. Prestasi mereka pada tahap terbaik walaupun baharu tiba dari luar negara,” katanya.
Luqman Hakim beraksi untuk kelab KV Kortrijk dalam Divisyen Satu Liga Belgium, manakala Hadi Fayyadh bermain untuk kelab Azul Claro Numazu dalam Liga J3 Jepun.
Malaysia, yang diundi untuk bermain dalam Kumpulan B, akan berdepan dengan Thailand pada 7 Mei, diikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong di Nam Dinh.
Dua pasukan terbaik pada peringkat kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.
Kali terakhir Malaysia meraih ‘ibu segala pingat’ dalam temasya dwitahunan itu adalah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia, di bawah bimbingan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee. – TVS