Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Baju bundle (terpakai) hasil sumbangan orang ramai menjadi antara busana digayakan mangsa kebakaran Kg Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas meraihkan lebaran pada kali ini.
Baju bundle (terpakai) hasil sumbangan orang ramai menjadi antara busana digayakan mangsa kebakaran Kg Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas meraihkan lebaran pada kali ini.

Baju ‘bundle’ busana pilihan pada pagi Syawal

ByTVS

TAWAU, 2 Mei : Baju bundle (terpakai) hasil sumbangan orang ramai menjadi antara busana yang digayakan oleh mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di sini untuk meraikan lebaran pada kali ini.

Musibah kebakaran pada 17 Mac lepas bukan sahaja memusnahkan mahligai tempat berteduh yang dibina berpuluh tahun malah turut menghilangkan seri Syawal yang saban tahun dinanti-nantikan kedatangannya.

Salah seorang mangsa kebakaran yang ditemui, Siuk Sarail, 64, berkata, walau bantuan datang bertali arus namun ia ternyata bukan tiket untuk berbelanja sakan bagi keperluan Aidilfitri.

Sebaliknya ia dimanfaatkan untuk keperluan yang lebih mendesak.

“Memang tidak ada persiapan. Baju pun pakcik pakai yang bundle, yang orang sumbang dari rombengan. Makcik dan anak-anak pula, baju raya mereka diberi oleh adik-beradik makcik,” katanya ketika ditemui di pondok sementara yang dibina selepas kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, kesemua bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) digunakan untuk membina pondok yang dihuni mereka empat beranak sehingga rumah kekal siap dibina nanti.

“Kami sudah menerima takdir, anggap musibah ini sebagai ujian. Semoga ada hikmah pada masa akan datang dan duit bantuan semua diguna untuk membina pondok, sebab kalau tidak bina pondok, lagi susah,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Indah Meja Hamdan, 71, pula berkata, tidak ada bahan untuk membuat biskut atau memasak hidangan sebagaimana lazimnya bagi sambutan Aidilfitri sebelum ini.

“Kalau dahulu sebelum solat sunat Aidilfitri, rumah sudah siap dikemas, hidangan untuk tetamu sudah sedia. Selalunya makcik masak, kalau biskut dan kacang-kacang itu selalu beli sahaja di kedai.

“Tapi di pondok ini memang terhad untuk buat kerja. Di sini kami tidur, makan, memasak bercampur dengan pakaian dan barang lain. Jadi memang tidak boleh buat apa-apa, lagi pula duit tidak boleh dibazirkan,” katanya.

Kejadian kebakaran di Kampung Kurnia Jaya itu telah memusnahkan 658 buah rumah yang menjejaskan hampir 3,500 mangsa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan