Foto: APMM
KUDAT, 1 Mei : Seramai 119 penumpang feri berdepan detik cemas apabila feri mereka naiki terkandas dibawa arus di kawasan terumbu karang di perairan Pulau Molleangin, Kudat, pagi semalam.
Difahamkan feri penumpang Labuan Express 7 itu dalam perjalanan dari Jeti Feri Karakit, Pulau Banggi menuju ke Jeti Feri Kudat terkandas setelah mengalami kerosakan pada bahagian enjin.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, tiga bot ronda Maritim Malaysia dari Zon Maritim Kudat telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk bantuan segera dan pemantauan terhadap keselamatan penumpang.
“Kesemua penumpang berkenaan telah selamat dipindahkan ke feri penumpang bantuan yang dihantar dengan selamat tanpa melibatkan sebarang kecederaan dan dibawa ke Jeti Feri Kudat,” katanya dalam kenyataan.
Turut terlibat dalam membantu menyelamat itu katanya, sebuah bot Bomba Sukarela Pulau Banggi, sebuah bot Pasukan Polis Marin Kudat, sebuah bot Pantanunam Resort dan dua bot penduduk kampung.
“Maritim Malaysia ingin menasihatkan pengusaha feri dan pemilik bot agar memastikan feri serta bot di bawah seliaan mereka diselenggara dengan baik serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara,” katanya lagi. – TVS