KUCHING, 30 April : Berbaki kurang daripada lima hari lagi untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, orang ramai sudah mula melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tinjauan TVS di Terminal Bas Kuching Sentral di sini semalam mendapati suasana sesak sejak awal pagi hingga lewat malam dengan mereka yang hendak pulang ke kampung masing-masing, malah ada di antara mereka yang mencuba nasib untuk melakukan pembelian tiket pada saat-saat akhir.
Husna Zulaiqah, 24 tahun, seorang siswi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, cuti pertengahan semester selama dua minggu pada kali ini akan dimanfaatkannya untuk pulang awal bagi menyambut hari raya bersama ahli keluarganya di Sibu.
“Perasaan saya raya tahun ini sangat teruja sebab dah dua tahun tak dapat pulang berhari raya di kampung. Jadi kali ini cuti panjang nak digunakan untuk berkumpul dengan keluarga yang jauh,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pula menunjukkan situasi yang lebih sesak apabila orang ramai melakukan perjalanan pulang ke kampung antara dalam dan luar negeri.
Faizal Adnan, 41 tahun, pensyarah di Kolej Komuniti Kuching berkata, raya tahun ini agak istimewa berbanding sebelum ini kerana beliau sudah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman sejak dua tahun yang lepas disebabkan oleh pandemik COVID-19.
“Saya lega tahun ini kerajaan benarkan rentas negeri dan daerah untuk berhari raya sebab saya memang nak balik Melaka, nak jumpa ibu bapa dan mentua saya yang dah lama tak bertemu.
“Perasaan gembira ini tak dapat nak digambarkan, sebab memang sangat teruja dibenarkan beraya di kampung pada kali ini,” katanya.
Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk pulang berhari raya ini menyaksikan aliran keluar dan masuk dari dan ke Sarawak melalui Terminal Bas Kuching Sentral dan KIA sibuk sepanjang hari dan keadaan dijangka akan bertambah sesak dua kali ganda menjelang sehari sebelum hari raya. – TVS