LONDON, 30 April: Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Boris Becker, dijatuhi hukuman penjara selama dua setengah tahun selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan oleh mahkamah British dalam kes berkaitan status muflisnya pada tahun 2017, lapor Reuters.
Juara enam kali Grand Slam berusia 54 tahun itu, dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan semalam selepas didapati bersalah di Mahkamah Southwark Crown di London atas kesalahan yang dilakukannya dari Mei hingga Oktober 2017.
Walau bagaimanapun, dia dibebaskan daripada beberapa pertuduhan lain.
Juara tiga kali Wimbledon itu telah diisytiharkan muflis pada 21 Jun 2017, di Mahkamah Tinggi London berhubung hutang kepada bank swasta Arbuthnot Latham & Co.
Di bawah syarat perintah muflis, dia terikat untuk mendedahkan asetnya.
Pertuduhan yang disabitkan oleh Becker termasuk mengalihkan harta berjumlah hampir 427,000 euro dari hartanya yang muflis, gagal mendedahkan pemilikan hartanah di Leiman, Jerman, menyembunyikan pinjaman sebanyak 825,000 euro dari Bank of Alpinum di Liechtenstein, dan pemilikan 75,000 saham dalam syarikat teknologi, Breaking Data Corp.
Becker menjadi ikon tenis pada 1980-an dan memenangi Wimbledon sebagai pemain bukan pilihan pada usia 17 tahun pada tahun 1985.
Dia juga memenangi Tenis Terbuka AS dan merupakan juara Tenis Terbuka Australia dua kali.
Semasa perbicaraannya, mahkamah diberitahu Becker memperoleh kira-kira AS$50 juta semasa kerjayanya, tetapi mempunyai gaya hidup yang mewah, termasuk menceraikan isterinya Barbara pada tahun 2001. – TVS