KUCHING, 29 April : Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di negeri ini menunjukkan perkembangan positif apabila mencapai kemajuan sebanyak 80 peratus setakat ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya komited untuk memastikan LPB disiapkan penghujung tahun ini.
“Kita masih menjangkakan hujung tahun ini dapat disiapkan sepenuhnya.
“Jika ada kelewatan sekalipun mungkin sedikit sahaja disebabkan oleh beberapa pakej dan dan seksyen yang terpaksa disiapkan pada fasa pertama tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri, di Pusat Khidmat N7 Samariang, di sini hari ini.
Kata Fadillah lagi, antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kelewatan projek adalah kekurangan sumber pekerja asing dan harga bahan binaan yang naik dengan mendadak.
“Kita perlukan sekurang- kurangnya lebih daripada 2,000 pekerja asing dan setakat ini jumlah mereka masih belum mencukupi.
“Bahan-bahan binaan juga ada yang naik harga dengan mendadak dan masalah kuari tidak mencukupi juga akan menyukarkan projek ini berjalan lancar iaitu dari segi batu batuan dan bahan bahan lain untuk binaan,” tegasnya. – TVS