BUENOS AIRES, 28 April: Sepasukan ahli paleontologi Argentina yang melakukan kerja-kerja penggalian di Patagonia telah menemui rangka dinosaur jenis raptor yang terbesar pernah direkodkan, lapor Reuters.
Spesies dinosaur baharu yang diberi nama Maip macrothorax itu berukuran antara sembilan dan 10 meter (29.5 dan 32.8 kaki) panjang, manakala “megaraptor” lain tidak lebih daripada sembilan meter, kata salah seorang saintis, Mauro Aranciaga Rolando, yang mengambil bahagian dalam penemuan itu.
“Haiwan ini amat besar dan kami berjaya menemui banyak rangka,” kata Aranciaga Rolando kepada Reuters pada Rabu, apabila fosil itu ditunjukkan di Muzium Sains Semulajadi Bernardino Rivadavia.
Menurut Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknikal Kebangsaan, yang pakarnya menemui dinosaur itu, rangka itu ditemui pada Mac 2019 di wilayah Patagonia, Santa Cruz, beberapa hari sebelum sekatan COVID-19 dikuatkuasakan.
Dua saintis Jepun turut menyertai ekspedisi tersebut.
Sepanjang tempoh sekatan pandemik, ahli paleontologi terpaksa membahagikan fosil antara mereka dan menganalisisnya di rumah masing-masing.
Aranciaga Rolando menjelaskan, megaraptor memiliki rangka tulang yang fleksibel , ekor panjang yang membolehkan mereka bergerak dengan seimbang, leher panjang serta tengkorak memanjang dengan lebih daripada 60 gigi kecil.
Dinosaur karnivor itu dipercayai telah mendiami kawasan yang kini menjadi hujung selatan Argentina pada 70 juta tahun dahulu semasa zaman Cretaceous. – TVS