LAHAD DATU, 28 April : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenal pasti tapak selaman skuba yang ikonik dikenali sebagai Blue Ring Hole di Terumbu Tingkayu, Teluk Darvel di sini sebagai produk pelancongan baharu negara.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata difahamkan hanya terdapat 10 tapak Blue Hole di seluruh dunia dengan masing-masing mempunyai satu struktur lubang biru, tetapi di Lahad Datu ia lebih menarik kerana Blue Ring Hole ditemukan dengan dua struktur lubang biru.
“Lawatan saya ke Blue Ring Hole hari ini, dari MOTAC kami membantu untuk mempromosikan produk pelancongan baharu, selepas kita beransur pulih dari COVID-19 kita mencari produk baharu untuk negara kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Blue Ring Hole yang dikenali sebagai Takat Tenggiri dalam kalangan nelayan tempatan itu, terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Lahad Datu dan mengambil masa 30 minit untuk ke lokasi menggunakan bot laju.
Dalam pada itu Nancy berkata banyak aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan di tempat berkenaan termasuk aktiviti selaman skuba dan selam snorkel.
“Pelancong domestik atau antarabangsa yang mahu menikmati percutian berbeza yang jauh dari bandar, boleh ke sini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya melihat banyak produk pelancongan di Sabah yang boleh dipromosikan termasuk aspek seni dan kebudayaan.
“Masih belum banyak diketengahkan dan saya percaya seni, budaya dan warisan penduduk Sabah ini mampu menjadi produk pelancongan yang akan mengiringi produk pelancongan fizikal yang ada, misalnya produk makanan,” katanya.
Menurutnya penduduk tempatan perlu mengambil peluang untuk bersama kerajaan bagi mengetengahkan produk yang boleh menjana pendapatan komuniti serta negara.
Nancy berkata MOTAC komited memastikan usaha membangunkan semula industri pelancongan agar berada di landasan betul dan dapat dicapai dalam jangka waktu ditetapkan. – TVS