Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan

Individu HSO boleh dilepaskan pada hari keempat jika diuji negatif

PUTRAJAYA, 27 April : Individu positif COVID-19 yang sedang menjalani arahan pengasingan di rumah (HSO) boleh dilepaskan pada hari keempat sekiranya disahkan negatif menerusi ujian saringan semula, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ujian berkenaan perlu dilakukan menggunakan RTK-Ag kendiri di bawah penyeliaan pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal ataupun secara maya.

“Keputusan ujian perlu dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam, agar individu terbabit segera dapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian negatif.

“Bagaimanapun, sekiranya masih positif, individu terbabit perlu melengkapkan tempoh pengasingan selama tujuh hari,” katanya pada sidang media mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik di sini hari ini.

Khairy berkata sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik setelah menjalani HSO selama tujuh hari.

Kelonggaran terbabit dibenarkan mulai 1 Mei ini dan ia terpakai ke atas individu yang sedang menjalani pengasingan, katanya.

Sementara itu, Khairy berkata berkuat kuasa pada tarikh sama juga, aktiviti bersalaman ketika bertemu turut dibenarkan namun perlu sentiasa mencuci atau membersihkan tangan.

“Jangan sentuh muka selepas bersalaman,” katanya.

Beliau berkata berkuat kuasa 15 Mei pula, semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022 akan digugurkan.

“Agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasiannya,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan