KUCHING, 27 April : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak telah berjaya menahan 28 buah vesel atas pelbagai kesalahan maritim di perairan negeri ini.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, setakat 27 April lepas, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan ke atas 2,100 buah vesel di perairan negeri.
Katanya, sebanyak enam operasi penguatkuasaan di perairan Sarawak dilaksanakan membabitkan 30 buah aset yang dimiliki agensi itu di negeri ini bagi mengekang perlanggaran undang-undang di kawasan perairan.
“Alhamdullilah setakat ini belum ada lagi kes-kes pencerobohan sempadan oleh kapal yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di perairan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkenaan dengan Operasi Khas Pagar Laut, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan Op Khas Pagar Laut di Sarawak telah memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya.
Jelasnya, operasi berkenaan diadakan bagi mengekang mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya semasa musim perayaan.
“Dari segi pengoperasian, APMM Sarawak telah menetapkan sebanyak 70 peratus anggota kami akan bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini untuk memastikan kesejahteraan serta keamanan perairan negeri Sarawak,” ujarnya.
Katanya, Op Khas Pagar Laut telah bermula dari 19 April lepas dan dijangka tamat 17 Mei depan dengan membabitkan seramai 450 anggota.
Pada Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2021 tahun 2021, anggota-anggota APMM telah merekodkan sebanyak 21 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM38.8 juta. – TVS