MUKAH, 27 April : Kerajaan Sarawak menambah dua buah feri masing – masing di Pengkalan Batang Paloh dan Lassa untuk kemudahan pengguna pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, feri tambahan itu akan mula beroperasi pada 29 April hingga 8 Mei depan.
Katanya, keputusan itu juga dibuat atas faktor keselamatan selain mahu mengurangkan masa menunggu kepada orang ramai.
“Saya berharap usaha ini akan melegakan pengguna yang terpaksa menempuh perjalanan panjang akibat kesesakan di kedua-dua kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Masalah kesesakan di Batang Lassa dan Paloh merupakan perkara biasa setiap kali musim perayaan.
Susulan kebenaran diberikan untuk pulang ke kampung halaman masing – masing pada tahun ini, dijangkakan aliran trafik tinggi di pengkalan feri berkenaan yang kali terakhir berlaku pada 2019 akan berulang.
Mengulas lanjut, Safiee berkata, tambahan feri itu hanya merupakan langkah sementara kerana Kerajaan Sarawak kini sedang giat melaksanakan pembinaan jambatan sebagai akses perhubungan penduduk.
Sementara itu, beliau memberitahu, sebuah lagi feri juga dijangka akan ditambah di Batang Igan. – TVS