KUCHING, 27 April : Aktiviti bertuntung merupakan tradisi turun temurun yang diadakan di Sarawak bagi memeriahkan suasana menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, sehubungan itu beliau mencadangkan agar pertandingan bertuntung dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri kerana dilihat mampu menarik minat pelancong.
“Ini merupakan aktiviti yang boleh menggalakkan lebih ramai lagi pelancong datang ke Sarawak supaya mereka kenal dengan budaya kita dengan lebih rapat lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pertandingan Bertuntung Online Satok Siri Kedua semalam.
Pertandingan tersebut merupakan anjuran bersama pihak Kamek Asal Orang Satok (KAOS), Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok.
Tambah Ibrahim, menerusi kerjasama ini , hubungan penduduk kampung dan agensi kerajaan dapat dieratkan lagi.
Untuk rekod, pertandingan bertuntung telah bermula pada 23 April lepas sehingga 10 Mei depan.-TVS