Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak perluas aktiviti penternakan, jamin keselamatan makanan

ByFebbright James

KUCHING, 26 April: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) berhasrat untuk meluaskan lagi usaha penternakan ikan air tawar seperti Tilapia.

Menurut Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, perkara tersebut adalah sebahagian daripada usaha PPNS untuk menambah pendapatan di samping menjamin keselamatan makanan di negeri ini.

“Kita di PPNS mempunyai perancangan jangka masa panjang iaitu dalam tempoh lima tahun untuk menambah pendapatan PPNS. Misalnya, kita mahu melibatkan diri dalam industri penternakan ikan air tawar di tasik-tasik yang ada di Sarawak seperti Batang Ai dan Bakun.

“Kita mungkin akan ternak ikan Tilapia kerana ikan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan memberi pulangan pendapatan,” katanya pada Majlis Penyampaiaan Sumbangan Wakalah Zakat dan Geran Pengurusan NAFAS di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Dato Zamri Bin Yaakob, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Baram Dennis Ngau dan Pengarah PErtubuhan Peladang Negeri Sarawak selaku Peladang Muda iaitu Azizul Annuar Adenan.

Tambahnya, usaha tersebut memerlukan bantuan dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) termasuk khidmat nasihat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kota turut memaklumkan PPNS akan terus bekerjasama dengan NAFAS dalam menguruskan hal ehwal penternak, peladang dan petani bagi memastikan pengeluaran makanan berterusan.

PPNS dan PPK (Pertubuhan Peladang Sarawak) masih lagi memerlukan bantuan dari NAFAS dari sudut peruntukan dan pengedaran baja.

Sementara itu, majlis penyampaian Wakalah zakat dan geran pengurusan merupakan acara tahunan NAFAS yang bertujuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

PPNS telah menerima RM70,000 Wakalah Zakat dan RM50,000 Geran Pengurusan manakala PPK yang merangkumi Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan telah menerima RM308,000 menjadikan keseluruhannya adalah sebanyak RM428,000. –TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan