SIBU, 26 April: Hasrat seorang wanita untuk menggandakan hasil daripada pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berakhir dengan kesedihan apabila dia menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan pertukaran matawang China yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata mangsa, yang merupakan seorang suri rumah berusia 31 tahun, telah melayari laman sosial dan tertarik dengan satu iklan yang menawarkan pertukaran matawang China pada petang 19 April lalu.
“Pengadu kemudian menghubungi pemilik akaun Facebook berkenaan melalui aplikasi Facebook Messenger dan dimaklumkan bahawa dia akan mendapat sebanyak RMB300 jika pengadu menukar matawang Ringgit Malaysia sebanyak RM200.
“Bersetuju dengan tawaran suspek,pengadu telah memindahkan RM200 ke akaun bank milik suspek.
“Namun begitu, pengadu telah diperdaya untuk melakukan dua belas lagi transaksi pindahan wang kepada akaun bank yang sama bagi tujuan mendapatkan matawang tersebut,” kata Zulkipli dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek telah memberi pelbagai alasan apabila pengadu bertanya mengenai wang yang sepatutnya diterimanya melalui pertukaran matawang seperti yang dijanjikan.
Pengadu yang rasa tertipu selepas tidak menerima wang renminbi iaitu dalam bentuk yuan China seperti yang dijanjikan, tampil ke Balai Polis Lanang pada Ahad lalu.
“Akibatnya, pengadu mengalami kerugian berjumlah RM1,510 iaitu hasil daripada pengeluaran akaun KSWP miliknya selepas diperdaya oleh suspek melalui pertukaran matawang China yang tidak wujud,” jelasnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS