MARUDI, 26 April: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan bawah umur di sebuah rumah kongsi di kawasan Rumah Buri, Sungai Bakong, Marudi pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat Kib, berkata suspek berusia 27 tahun itu merupakan seorang pemandu lori.
Katanya, insiden itu disedari ibu kandung mangsa berusia 28 tahun setelah menyedari anak yang berusia enam tahun tiada di rumah selama setengah jam pada hari kejadian.
“Ibu mangsa terkejut setelah mendengar cerita anaknya yang pergi bermain dengan seorang lelaki warga negara Indonesia yang dipanggil dengan gelaran ‘Om’.”
“Anak pengadu juga memberitahu bahawa lelaki tersebut telah melakukan perkara yang jijik terhadapnya, yang mendorong ibu mangsa bertindak membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Ujarnya lagi, pengadu juga diberitahu oleh anaknya bahawa suspek juga cuba memasukkan ‘anunya’ ke dalam kemaluan mangsa namun tidak berjaya.
Menurut Mohd Ruslan, pengadu dan mangsa amat mengenali suspek dan sering makan bersama di rumah mereka.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati keterangan mangsa adalah sangat konsisten dan susulan itu mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk menjalani pemeriksaan perubatan pada 24 April lalu,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, suspek telah berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Balai Beluru pada 12.15 tengah hari Ahad lalu.
“Suspek telah dimasukkan ke dalam lokap Balai Polis Marudi untuk siasatan lanjut dan ditahan selama 14 hari di bawah Akta Imigresen,” katanya lagi.
Susulan itu, pihak polis turut merampas sehelai baju gaun berwarna merah jambu sebagai bukti kes.
Suspek difahamkan telah bekerja di Bakong sebagai pemandu lori selama hampir lima bulan.
Mohd Ruslan berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/66. – TVS