SANDAKAN, 26 April : Syawal yang menjelang tiba pasti membuatkan ramai orang sibuk untuk melakukan persiapan dari butang baju melayu, kain langsir dan yang sering menduduki tangga teratas senarai wajib disediakan saban tahun adalah biskut raya.
Berbanding duhulu, kekangan kerja dan keperluan lain yang mendesak menyebabkan orang ramai kini lebih memilih untuk membeli biskut raya.
Apabila itu yang berlaku para pengusaha biskut raya kini antara yang sibuk menyiapkan tempahan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Bagi pengusaha biskut raya, Mariyana Lahiya, 38, berniaga biskut raya bukan sekadar untuk mencari keuntungan, sebaliknya ia membantu memudahkan golongan bekerjaya yang tidak mempunyai masa dalam menyediakan biskut raya.
Dalam masa yang sama, ia juga membuka peluang pekerjaan kepada ahli keluarga terutama anak saudaranya yang tidak bekerja atau yang baharu tamat belajar.
“Semuanya bermula pada 2019. Pada masa itu, ibu saudara saya menerima tempahan beratus-ratus balang biskut dan kekacang tetapi akhirnya pelanggan itu lari dan tidak mengambil tempahannya.
“Siapa sangka niat awal saya untuk membantu ibu saudara menjual biskut dan kekacang itu kepada rakan dan kenalan lain menjadi titik permulaan bagi saya untuk menceburi bidang perniagaan ini.
“Sehingga kini, sudah masuk tahun ke-empat saya berniaga biskut dan kekacang, dan ketika ini kebanyakan jualan dihasilkan sendiri oleh saya bersama keluarga. Produk oleh Resepi Hajah kini semakin dikenali dan sambutan amat menggalakkan,” katanya.
Bersesuaian dengan peralihan ke fasa endemik, Mariyana berkata kelonggaran bagi menyambut bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini turut membantu menaikkan lagi permintaan terhadap jualannya.
Katanya, sejak bulan lalu hingga hari ini, sudah hampir 3,000 balang biskut raya dan kekacang telah dijual kepada pelanggan sama ada yang menempah sendiri atau yang dihantar ke vendor luar.
“ Setakat ini kami telah menghantar hasil jualannya ke tujuh buah restoran dan tiga buah pasar raya di sekitar Sandakan selain mempromosikan jualan atas talian.
“ Antaranya, kacang sembunyi, kacang telur, kecipo, bangkek, batang buruk, makmur, tat nenas, cornflakes madu, horlicks dan pelbagai jenis lagi.” katanya.
Beliau juga menjangkakan permintaan akan bertambah menjelang akhir bulan ini kerana ramai pelanggan yang memilih untuk membeli biskut raya pada saat-saat akhir sebelum meraikan Syawal.
“Meskipun persaingan semakin hari semakin tinggi, tetapi saya percaya sekiranya kita menghasilkan jualan yang berkualiti dengan harga yang mampu milik, rezeki itu akan sentiasa masuk,” jelasnya. – TVS