BATU NIAH, 25 April: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di dalam hutan ditemui selamat di kebun sawit kira kira 300 meter dari Kampung Iran Rumah Ngadan di Jalan Pesisir Miri-Bintulu pada malam Ahad.
Mangsa berusia 88 tahun itu, yang dipercayai masuk ke dalam hutan bersendirian, ditemui pasukan mencari dan menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah pada jam 9.17 malam iaitu enam jam selepas dia memasuki hutan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Natu Niah, Pegawai Bomba Tonggi (PBT) II Rary Binjie, berkata seramai sembilan anggota digerakkan ke lokasi kira-kira 22 kilometer dari balai untuk melakukan kerja mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.44 malam.
“Setibanya pihak kami di lokasi pada jam 9.06 malam, pihak bomba telah mendapatkan maklumat awal daripada ahli keluarga mangsa sebelum menggerakkan kerja pencarian bersama orang kampung.
“Pencarian hanya dijalankan pada radius 300 meter memandangkan keadaan gelap di sekeliling hutan namun nasib menyebelahi pasukan kami apabila mangsa berjaya dijumpai setelah lebih kurang 10 minit pencarian dijalankan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Ujarnya, mangsa ditemui di kawasan kebun sawit dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa kemudian didukung oleh anggota hingga ke rumah dan diserahkan kepada ahli keluarganya dan operasi SAR ditamatkan pada 9.18 malam.
Mengikut maklumat awal, kata Rary, mangsa pergi ke hutan untuk mencari sayur kampung pada petang itu dan tidak pulang sehingga ahli keluarga yang bimbang membuat laporan polis pada jam 8.30 malam itu.
“Mangsa dipercayai tersesat selepas gagal menemui jalan keluar kerana penglihatannya kurang jelas pada waktu malam,” tambahnya. – TVS