Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tidak lengkap Aidilfitri tanpa buras
Tidak lengkap Aidilfitri tanpa buras

Tidak lengkap raya tanpa buras

TAWAU, 24 April : Buras mungkin asing bagi sesetengah kaum di negara ini, namun bagi masyarakat di daerah ini, ianya sebagai pelengkap hidangan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Lebih menarik walaupun buras lebih sinonim dengan kaum Bugis, namun hampir setiap rumah menghidangkannya sebagai juadah ketika hari raya.

Makanan berasaskan beras yang dibungkus menggunakan daun pisang ini akan dihidangkan bersama lauk seperti ayam masak lengkuas, ayam masak merah, serunding dan udang.

Penyediaan buras ini kebiasaannya akan dilakukan secara bergotong royong bersama keluarga dua hari sebelum menjelang malam Syawal dan boleh disimpan sehingga seminggu.

Bagaimanapun proses mengikat buras memerlukan kemahiran dan perlu dimasak menggunakan kayu api sehingga 12 jam menjadikan makanan ini renyah untuk dihasilkan.

Buras dihidang bersama lauk lain.

Susulan itu, pembuat dan penjual buras tidak menang tangan menerima tempahan setiap kali menjelang musim perayaan.

Nur Sofea Yonggo, 28, yang menjual buras secara kecil – kecilan di Kampung Rawa-Rawa bersama ibunya, Mariam Mape, 56, sejak lima tahun lalu berkata, pernah menerima tempahan sehingga 300 ikat buras pada satu masa.

“Dulu kami buat hanya untuk dimakan dan jamu tetamu, lepas itu ada yang berminat untuk tempah, jadi kami pun terus mulakan perniagaan menjual buras ini.

“Selalunya tempahan diterima sejak awal Ramadan sehingga seminggu sebelum Aidilfitri. Semua tempahan ini akan disiapkan dua hari sebelum diedar kepada pelanggan,”katanya.

Nur Sofea berkata, pelanggan yang menempah dengan mereka adalah pelanggan tetap di kalangan jiran tetangga dan kenalan yang datang dari pelbagai bangsa.

Nur Sofea bercadang untuk mengusahakan perniagaan buras ini secara serius pada masa hadapan.

“Kami tidak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah masa itu kami dapat banyak tempahan sebab ramai yang tidak mahu buat sendiri di rumah,”katanya.

Ramai yang boleh membuat buras katanya, kerana hanya memerlukan tiga bahan utama iaitu beras, santan dan garam, namun untuk memperoleh kualiti buras yang asli tidak semudah menyebutnya.

“Kami buat masak cara tradisional, guna beras dalam karung untuk lebih tahan lama dan santan yang banyak untuk rasa lebih berlemak.

“Daun pisang ada dua lapisan, tidak boleh koyak, perlu dibersihkan, dilayur dahulu, sukatan beras dan santan perlu ‘ngam’.

“Masak kena lama dengan api yang kecil, ikatan kena kencang supaya mampat, dan ada acuan agar semua buras ini sama semuanya,” ujarnya buras dijual dengan harga sehingga RM3 seikat.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini juga bercadang untuk berkecimpung secara serius dalam perniagaan menjual pada masa akan datang.

“Perancangan itu memang ada kerana kita tidak mahu ketulenan buras ini akan hilang ekoran ciptaan teknologi yang semakin berkembang,”katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Pemasaran Sektor Perumahan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan