DALAT, 23 April : Pemeriksaan polis terhadap motosikal yang diparkir di sekitar pekan ini mendapati majoriti pemiliknya tidak mengutamakan aspek keselamatan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, semalam anggotanya daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melakukan pemeriksaan terhadap 141 buah motosikal.
“Sebanyak 107 buah motorsikal didapati tidak dikunci. Hanya 34 sahaja yang dikunci,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, ujar Saga, polis mendapati 10 buah motosikal ‘ditinggalkan’ bersama kunci ketika diparkir.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan secara advokasi semalam, pihaknya tidak mengeluarkan saman kesalahan trafik.
“Polis juga telah memberi penerangan ringkas berhubung risiko yang mungkin berlaku sekiranya pemilik meninggalkan kenderaan mereka dalam keadaan tidak berkunci,” katanya. – TVS