MUKAH, 23 April : Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) memperkenalkan kaedah e-lesen serta pembayaran tanpa tunai melalui SPay Global di sembilan Tanam Negara yang diselianya.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, usaha berkenaan dilaksanakan bagi menyahut seruan Premier Sarawak , Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dalam memperkasakan ekonomi digital di negeri ini.
“Bagi e-lesen, ia dibangunkan setelah mendapat maklum balas pemain industri bahawa permohonan lesen hanya dikeluarkan di Kuching sahaja, maka menerusi aplikasi ini, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian.
“SFC telah mula menghebahkan portal rasmi e-lesen iaitu SFC’s E-Licensing Portal di media sosial kami,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Dialog SFC dengan Persatuan Perdagang Sarang Burung Bahagian Mukah di sini semalam.
Jelasnya, bermula 1 Mei depan, orang ramai yang ingin memohon lesen daripada SFC boleh menggunakan portal berkenaan.
“Usaha ini mendapat kerjasama baik daripada Perbendaharaan Kerajaan Sarawak bagi memudahkan pembayaran khasnya melibatkan usahawan.
“Oleh itu, sekiranya anda pergi ke Taman Negara tertentu di Sarawak, boleh gunakan SPay Global untuk membeli tiket di kaunter masuk,”katanya. -TVS