KUCHING, 23 April : Kegiatan membaca tidak mendapat sambutan dalam kalangan generasi digital native kerana golongan ini telah dilatih membaca oleh media sosial.
Pengarah Urusan stor eBuku e-Sentral, Faiz Al-Shahab berkata, kumpulan itu juga tidak dilatih untuk membaca teks panjang yang memerlukan daya tumpuan dan imaginasi yang lebih tinggi.
Ujar beliau, ramai yang berfikir sekiranya boleh membaca, ia sudah memadai kerana tidak buta huruf.
“Oleh itu, mereka fikir tidak perlu membaca buku lagi.
“Apa yang tidak dijelaskan adalah kepentingan untuk membaca teks panjang seperti membaca buku kerana kegiatan ini adalah senaman untuk minda dan fikiran kita,” katanya menerusi kenyataan media.
Perkembangan itu, kata Faiz, menyebabkan budaya membaca di negara ini berada pada paras berbahaya, ditambah faktor kempen membaca dalam negara tidak berkesan kerana tidak memberi penekanan kepada orang awam untuk memahami kebaikan membaca.
Katanya, selain ancaman media sosial yang ‘memonopoli’ masa, minat murid-murid terhadap bacaan turut merosot setelah dilanda pandemik COVID-19.
“Sekolah-sekolah Malaysia tidak lagi mendorong kegiatan di perpustakaan, maka minat untuk murid-murid mengangkat buku juga turut terhad,” katanya.
Baca > > > Gejala lambat bercakap kanak-kanak meningkat, keterdedahan peranti antara punca – Pakar
Ujar Faiz, amalan membaca yang mendorong berfikir secara kognitif, memupuk daya imaginasi, daya tumpuan dan kebolehan berfikir perlu terus ditekankan di kalangan rakyat negara ini.
“Sama seperti bahagian tubuh badan yang lain, otak juga memerlukan senaman supaya sentiasa sihat dan berfungsi. Jadi, membaca buku adalah senaman baik untuk otak kita,” tegasnya. – TVS