Foto : Fiqri Razak
KUCHING, 22 April : Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk) bakal memiliki bangunan sendiri yang akan dibina di Desa Wira, Batu Kawa.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak, dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan persatuan untuk membina pusat berkenaan dengan kos sebanyak RM3, 954,500.
“Pusat ini akan dibina di tapak seluas 0.607 hektar di Batu Kawa yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 24 Disember 2014.
“Berdasarkan reka bentuknya, ia akan mempunyai sepuluh bilik darjah, bilik persidangan, pejabat, dewan pelbagai guna dan asrama untuk menampung keperluan pelajar dan keluarga datang dari luar Kuching,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Disleksia Sarawak di pejabatnya di sini hari ini.
Fatimah yang juga penasihat DASwk berkata, beliau sangat menghargai usaha persatuan mengadakan pelbagai aktiviti amal untuk mengutip dana bagi merealisasikan pembinaan berkenaan.
“Mereka dapat menjalankan program intervensi disleksia dengan lebih efektif serta kondusif dengan dana yang dikutip melalui pelbagai aktiviti amal diadakan.
“Matlamat utama DASwK untuk mendidik dan membangunkan kebajikan kanak-kanak yang mengalami penyakit disleksia.
“Justeru kanak-kanak yang menunjukkan ciri-ciri disleksia ini perlu diagnos seawal mungkin supaya mereka tidak terbiar dan tersisih daripada masyarakat,” katanya. -TVS