Foto : Fiqri Razak
KUCHING, 22 April : Lebih 1,000 murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Sarawak dikesan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Apa yang lebih membimbangkan menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah, angka itu terus meningkat setiap tahun.
Sehubungan itu, ujar Fatimah kementeriannya akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sarawak untuk mengenal pasti punca perkara ini.
“Langkah seterusnya kita akan melaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat wakil Jabatan Pendidikan Negeri dan Penyerahan Cek Persatuan Disleksia Sarawak di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, sekiranya isu ini berlarutan, ia boleh menyebabkan masalah keciciran dan kesukaran mendapatkan peluang pendidikan sekaligus menjejaskan masa depan.
“Sekiranya kanak- kanak yang terlibat ini (tidak mempunyai dokumen pengenalan diri) berasal daripada keluarga susah, ia akan semakin membebankan,” katanya. – TVS