Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bazar Aidilfitri Satok
Bazar Aidilfitri Satok

Dua tahun ‘menghilang’, Bazar Aidilfitri Satok kembali menjelma

Foto: Faitullah Morni

KUCHING, 22 April : “Setahun menghilang, Sekarang menjelang, Hari yang bahagia, Selamat Hari Raya”.

Ini merupakan rangkap popular lagu Selamat Hari Raya nyanyian Datuk Ahmad Jais yang kekal malar segar kerana sering diputarkan menjelang Aidilfitri saban tahun.

Lagu berkenaan antara lain ‘bercerita’ tentang kerinduan menyambut ‘hari kemenangan’ bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa.

Bagi Bazar Aidilfitri Satok di bandar raya ini, kemeriahannya telah ‘hilang’ selama dua tahun ekoran pandemik global.

Kembali dianjurkan pada tahun ini oleh Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB), operasi bazar berkenaan mengubat kerinduan orang ramai di sini.

Tinjauan TVS baru – baru ini mendapati perniagaan di situ mendapat sambutan yang menggalakkan sejak dibuka pada 19 April lalu.

Pengunjung yang ditemui rata-rata teruja dan girang kerana berpeluang untuk membuat persiapan raya pada tahun ini.

Mohd. Fazza dari Muara Tebas berkata, suasana di bazar berkenaan telah mengubat rindu dan mengembalikan semangatnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak.

Pelbagai barangan kelengkapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dijual di Bazar Aidilfitri Satok di Kuching.

“Sudah dua tahun tidak merasai suasana membeli belah di bazar menjelang perayaan.

“Jadi saya ambil kesempatan ini untuk mendapatkan beberapa barangan keperluan,” katanya.

Bagi Nur Amira Reduan pula, kebenaran untuk berkunjung semula ke bazar menggembirakan orang ramai termasuk dirinya.

Salah seorang peniaga di Bazar Aidilfitri Satok menunjukkan kuih tradisional yang dijualnya ketika tinjauan TVS baru – baru ini. Foto: Faitullah Morni.

Sementara itu, bagi Nashibah Riduan kelonggaran yang diberikan pihak berkuasa tidak bermakna prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan boleh diabaikan.

“Pengunjung perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga semasa membeli-belah di bazar ini.

“Terdapat beberapa SOP yang dikuatkuasakan seperti pengimbasan kod QR dan pemakaian pelitup muka,” katanya.

Bagaimanapun Nashibah berkata, dia mendapati agak sukar untuk mematuhi penjarakan sosial kerana ruang yang terhad dan pengunjung agak ramai.

Pada tahun ini, penganjur menyediakan lebih 80 tapak niaga yang merangkumi jualan baju raya, songkok serta aneka kuih dan biskut raya.

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan ke bazar ini supaya tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerana menjelang hari – hari terakhir Ramadan, jumlah pengunjung dijangka akan terus meningkat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan