Foto : Febbright James
KUCHING, 21 April : Sempena lawatan kerja dua hari di Sarawak, Yang di – Pertuan Agong , Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong , Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Bazar Ramadan Satok, di sini petang tadi.
Keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong ke bazar berkenaan pada pukul 3.30 petang itu disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ,Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Teruja dengan keberadaan pasangan diraja itu, pengunjung bazar tidak melepaskan peluang merakam foto bersama baginda berdua.
Seri Paduka dan Tunku Azizah Aminah Maimunah meluangkan masa selama kira – kira 30 minit dan dilihat berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa.
Raja Permaisuri Agong yang diketahui umum sebagai pakar masakan juga kelihatan teruja apabila singgah di gerai yang menjual kuih popular Sarawak iaitu Kuih Bongkol.
Lawatan Seri Paduka Baginda berdua sekaligus mencipta sejarah kepada bazar itu yang mula beroperasi pada 2010.
Difahamkan, pada malam ini, Seri Paduka dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa dan santapan malam di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Terdahulu, Al – Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tengah hari tadi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka dengan pesawat khas kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi disambut Tuan Yang Terutama, Yang di -Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Abang Johari.
Untuk rekod , kunjungan ini merupakan lawatan kali kedua Raja Permaisuri Agong ke Sarawak pada tahun ini.-TVS