MUKAH, 21 April : Seorang nelayan yang cuak ketika diperiksa polis membuat pengakuan bahawa dia menyimpan bahan terlarang itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Rizal Alias berkata, lelaki berusia 37 tahun itu pada mulanya ditahan ketika berada di sebuah bilik di Jeti Riverside, Jalan Boyan Mukah dekat sini pada pukul 7.30 pagi semalam.
“Semasa pemeriksaan tubuh badan dijalankan oleh anggota polis,suspek menyerahkan dua keratan tiub straw berwarna biru yang masing – masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.50 gram,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Litong itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.
“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia positif dadah,”katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan kes kedua melibatkan seorang penganggur berusia 38 tahun dari Kampung Lintang Balingian yang ditahan di sebuah bilik di sebuah rumah tidak bernombor di situ.
“Semasa pemeriksaan, suspek juga telah menyerahkan satu beg kecil berwarna coklat yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine berat kasar 0.53 gram,”katanya.
Ujarnya, kedua – dua disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS