KUCHING, 21 April : Seorang lelaki maut manakala kanak – kanak perempuan yang dipercayai cucunya terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Alphard putih yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Stutong Baru, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) manakala cucunya yang berusia lima tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, tujuh anggota diketuai oleh Penguasa Bomba Kanan II Iskandar Apet dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.29 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Alphard V6 terbabas menyeberangi jalan yang mana terdapat dua mangsa dengan seorang daripadanya tersepit.
“ Pihak bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa,” kata PGO menerusi kenyataan, hari ini. -TVS