Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hafiz DressMaker 1
Hafiz DressMaker 1

Mesin jahit Hafiz kembali ‘menari’ menjelang Syawal

Foto Fikri Razak

KUCHING, 21 April : Dua tahun ‘sepi’ menjelang Hari Raya Aidilfitri berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketibaan musim perayaan kali ini ‘disambut’ berbeza oleh tukang jahit di sekitar bandar raya ini.

Mereka tidak lagi termenung memikirkan kemerosotan tempahan baju raya sebaliknya ketika ini tidak menang tangan menyiapkan busana indah untuk digayakan pelanggan pada pagi Syawal ini.

Hafiz Zulkipli yang mengasaskan Hafizz Dress Maker berkata, pada tahun lepas, kedainya di Matang hanya menerima sebanyak 10 tempahan sahaja.

Katanya, sejak dua bulan lalu selepas pelbagai sekatan mula dilonggarkan oleh kerajaan, pelanggan yang ‘hilang’ kini kembali mengetuk pintu butiknya.

“Alhamdulillah, tahun ini saya terima lebih 50 tempahan untuk menjahit baju raya pelbagai fesyen mengikut cita rasa pelanggan.

“Namun begitu, disebabkan kekangan masa, saya terpaksa menghadkan jumlah tempahan, sebenarnya ramai lagi yang hendak hantar kain,” katanya ketika ditemui TVS di kedainya baru -baru ini.

Hafiz memberitahu, proses ukuran sangat penting bagi memastikan pelanggan gembira dengan hasil kerjanya.

Keputusan untuk menghadkan jumlah tempahan raya kata Hafiz juga kerana butiknya perlu menyiapkan busana perkahwinan kerana ramai pelanggannya akan turut bergelar raja sehari pada Syawal ini.

Berpengalaman selama 18 tahun dalam bidang jahitan, Hafiz berkata, dia dan ‘pasukannya’ akan sedaya upaya menyiapkan kesemua tempahan berkenaan sebelum 1 Syawal.

“Sebagai tukang jahit, kita berasa puas hati apabila melihat pelanggan melangkah keluar dari kedai dengan senyuman selepas mengambil baju raya yang mereka tempah,” katanya.

Berkenaan harga yang dikenakan, Hafiz berkata, ia berbeza mengikut tahap kesukaran rekaan yang perlu disiapkan.

“Sebagai contoh, harga bagi sepasang baju kebaya dan baju kurung moden bermula pada kadar RM120 mengikut jenis kain dan juga permintaan lain dari pelanggan,”katanya.

Pada masa sama Hafiz mengakui, dia terpaksa menaikkan sedikit upah susulan peningkatan harga peralatan menjahit dan penyelenggaran mesin jahit baru – baru ini.

“Begitupun untuk pelanggan tetap, saya memberikan sedikit diskaun tetapi disebabkan kos meningkat, saya terpaksa kenakan caj tambahan RM10,”katanya.

Ditanya tentang fesyen baju raya yang in pada tahun ini, Hafiz berkata, majoriti pelanggan memilih elemen klasik.

“Baju kebaya riau, baju kebarung dan kurung moden kembali mendapat tempat di hati golongan wanita untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Di rak baju, seperti yang anda lihat, sudah bersusun tempahan baju jenis itu yang berjaya disiapkan,”katanya.

Mengakui memerlukan masa untuk memastikan setiap tempahan disiapkan tanpa ‘cacat cela’, Hafiz berkata, sejak awal Ramadan, sudah menjadi kebiasaan untuknya ‘menekan’ mesin jahit sehingga pukul 4 pagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan