LIVERPOOL, 20 April: Perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi yang menyaksikan Liverpool membelasah Manchester United 4 – 0 di Anfield turut ‘melondehkan’ kelemahan ketara The Red Devil.
Hakikat ini diakui oleh pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick bahawa kelabnya kini ketinggalan enam tahun di belakang Liverpool, lapor Reuters.
Rangnick tanpa berselindung berkata, Manchester United memerlukan transformasi besar-besaran jika ingin bersaing untuk menambah 13 gelaran juara yang pernah dijulang mereka.
“Ia sangat memalukan dan menyakitkan,”katanya.
Kekalahan semalam menambah rekod buruk kelab bola sepak paling popular di dunia itu yang sebelum ini ‘terciduk’ dengan kekalahan besar 0-5 pada Oktober tahun lepas kepada seteru utama mereka itu.
Pesta The Red bermula menerusi jaringan Luis Diaz pada minit kelima apabila berjaya menyudahkan hantaran Mohamed Salah.
Liverpool kemudian terus mendominasi apabila Salah menjaringkan gol pada minit ke-22 dan keputusan itu kekal sehingga tamat babak pertama.
Liverpool terus menggegarkan gawang pelawat apabila Sadio Mane menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke -66.
Salah menutup akaun gol pasukannya pada minit ke -85 sekaligus memberi tiga mata penuh yang menerbangkan Liverpool sebagai pendahulu liga.-TVS