KUCHING, 18 April: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC), SEDC Energy Sdn Bhd, Sarawak Metro dan TVS menerusi program ‘Semarak Ramadan’ mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk kepada setiap pengunjung di stesen multi-bahan api PETROS.
Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata, SEDC komited menyokong individu yang memerlukan menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporatnya termasuk inisiatif pengagihan bubur lambuk yang menjadi simbol amalan berkongsi sepanjang bulan Ramadan.
“Amalan berbuat kebaikan dan berkongsi rezeki pada bulan Ramadan adalah selaras dengan perkongsian rahmat dan sumber pendapatan ibarat hidangan bubur lambuk yang dimasak dengan bahan-bahan segar lain yang disediakan dan diagihkan secara eksklusif,” katanya.
Beliau turut berharap sumbangan yang diberikan mampu mengeratkan lagi hubungan yang ada dalam kalangan warga Kuching.
“Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan program ini. Diharap sumbangan ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin selama ini.
“Tanpa sokongan mereka, agak sukar untuk acara ini berlangsung. Semoga Allah SWT membalas ganjaran mereka,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan majlis, Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy Robert Hardin, Ketua Perhubungan Awam Sarawak Metro Alexius Barieng serta kakitangan-kakitangan PETROS, SEDC, SEDC Energy, Sarawak Metro dan TVS. – TVS