Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sabah FC tewas kepada KL City
Sabah FC tewas kepada KL City

Romel tamat kemarau jaringan bantu KL City calar rekod Sabah

ByBernama

Foto : Sabah Football Club

KUALA LUMPUR, 17 April : Penyerang import Romel Morales akhirnya berjaya menemui sentuhan penyudah musim ini apabila meledak dua gol bagi membantu Kuala Lumpur (KL) City FC mengatasi Sabah FC 2-0, sekali gus mencalar rekod tiga perlawanan tanpa kalah pelawat dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam ini.

Sabah FC nyaris berada di depan pada minit ke-14 namun rembatan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dinafikan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza sebelum Romel menceriakan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk jaringan pertama liga musim ini, hasil daripada sepakan percuma Paolo Josue pada minit ke-36 dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama tamat.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang meningkatkan tempo permainan hampir menjaringkan gol penyamaan namun tandukan Baddrol sedikit tersasar di sebelah kiri gol lawan pada minit ke-54.

‘Sang Badak’ terus buntu merobek gawang skuad warga kota apabila Kevin bertindak cemerlang menggagalkan dua percubaan berbahaya berturut-turut, masing-masing oleh penyerang Jepun, Taiki Kagayama disusuli pemain gantian, Nazirul Naim Che Hashim, pada minit ke-67.

Bagaimanapun, Romel menjadi duri dalam daging buat pasukan kendalian bekas Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, apabila mudah menolak masuk jaringan keduanya dua minit sebelum perlawanan tamat, untuk membantu anak buah Bojan Hodak merakam kemenangan kedua liga selepas lima perlawanan musim ini.

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula menyaksikan Negeri Sembilan FC mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC.

Tonggak pertahanan, Herold Mark Goulon membuka tirai jaringan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama sebelum tandukan Darren Lok pada minit ke-63 menyamakan kedudukan buat pelawat.

Tersentak dengan gol tersebut, Negeri Sembilan terus menyerang kubu lawan sehingga  menyaksikan  penyerang gantian, Sean Eugene Selvaraj menggamatkan penyokong di Paroi apabila menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-80 manakala Matheus Alves Leandro melengkapkan kemenangan skuad bimbingan K Devan selang lima minit kemudian.

Dalam pada itu, Sri Pahang FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tumpas 1-2 kepada Melaka United FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad ‘Tok Gajah’ terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan penalti penyerang Jordan, Mahmoud Saleem Mahmoud Za’tara pada minit kelima namun Melaka United bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Emmanuel Oti Essigba pada minit ke-51 sebelum gol Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-70 mengesahkan kemenangan pertama liga musim ini buat mereka.

Sementara itu, Kelantan FC terus unggul di persada Liga Premier dengan mengumpul 12 mata selepas lima perlawanan melalui kemenangan ke atas Perak FC 3-1 di Stadium Perak, Ipoh manakala Selangor FC 2 berpesta gol membelasah PDRM FC 4-1 di Stadium UiTM, Shah Alam dan Terengganu FC II pula menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan