KUCHING, 16 April : Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpandangan, Sabah dan Sarawak telah memberi sumbangan besar dalam memastikan kestabilan Malaysia ketika berdepan pergolakan politik tidak menentu sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau secara peribadi berpandangan adalah wajar dipertimbangkan supaya wakil Sabah dan Sarawak mempunyai jawatan tinggi dalam pentadbiran negara.
“Kalau tidak PM (jawatan), adalah Timbalan Perdana Menteri, tidak salah untuk kedua – dua wilayah ini diberi jawatan itu atau mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diisi secara bergilir – gilir (oleh wakil Sabah dan Sarawak),”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kasih Belia Ramadan di sini hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kepentingan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memiliki wakil dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri sekiranya menang PRU-15 , Abdul Karim berkata, perkembangan itu menunjukkan sikap rasional dalam parti berkenaan.
Baca > > > Terima kasih calon saya sebagai Perdana Menteri – Ismail Sabri
” Ini kerana sebelum ini seolah – olah dilihat ada pihak yang tidak begitu sehaluan dengan Perdana Menteri kerana beliau bukan Presiden parti, namun pendirian terbaharu ini menunjukkan perkembangan yang bagus,”katanya.
Pada masa sama, Abdul Karim berharap tindakan UMNO itu akan terus mengekalkan kestabilan yang mula wujud ketika ini setelah landskap politik negara tidak menentu selepas PRU-14.
“Ini sedikit sebanyak akan berusaha menstabilkan politik Malaysia kerana jika terlalu banyak nama keluar daripada UMNO (sebagai Perdana Menteri), kemungkinan ada nama – nama yang tidak dapat diterima rakyat ekoran kes mahkamah dan sebagainya,”katanya. -TVS