KUCHING, 16 April : Situasi pandemik COVID-19 di negeri ini semakin menunjukkan perkembangan baik apabila kes baharu menurun kepada 121 kes bagi tempoh 24 jam lepas.
Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut mengesahkan dua kluster iaitu Kluster Jalan Bukit Mata dan Kluster Jalan Padungan tamat sepenuhnya.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif hanya satu buat masa ini,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, daripada jumlah kes baharu hanya enam kes yang berada dalam kategori tiga, empat dan lima.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 303, 771 kes sejak pandemik melanda negeri ini.
Kuching kekal menjadi daerah dengan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 35 kes, diikuti Miri (19), Bintulu (18) dan Limbang (13), manakala 21 daerah di Sarawak sifar kes baharu. – TVS