MIRI, 15 April : Seorang pesara wanita di bandar ini berputih mata apabila kerugian lebih RM1.19 juta akibat terpedaya dengan taktik licik sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, mangsa yang berusia awal 60-an menerima panggilan telefon daripada Alisya Osman yang mengaku sebagai pegawai di sebuah syarikat insuran pada 15 Oktober tahun lepas.
Katanya, suspek memberitahu mangsa telah membuat empat tuntutan insuran perubatan semasa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.
“Panggilan telefon kemudian telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai Sarjan Mejar Fazli Azman dari Balai Polis Pudu dan mengatakan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah.
“Suspek mengatakan mangsa perlu membersihkan namanya kerana telah membuat tuntutan insuran palsu.
“Selepas itu, panggilan telefon telah disambungkan kepada beberapa lagi suspek yang memintanya untuk membuka akaun semasa di sebuah bank untuk membantu siasatan pihak polis,”katanya menerusi kenyataan media semalam.
Maria memberitahu, selepas membuka akaun bank baharu, mangsa telah mendaftarkan perbankan secara dalam talian menggunakan nombor yang diberikan oleh suspek.
“Wanita itu kemudian telah diarahkan memindahkan kesemua wang simpanan melebihi RM1.19 juta ke dalam akaun bank baharu dan menyedari ditipu setelah membuat semakan baki,”katanya.
Ujarnya, mangsa mendapati wangnya telah dipindahkan ke sembilan akaun yang tidak dikenali melalui 52 transaksi di antara 28 Oktober 2021 sehingga 29 Mac 2022,”katanya. -TVS