KUCHING, 14 April : Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaikkan amaun pemberian khas kepada Sabah sebanyak 4.7 kali ganda bagi tahun ini.
Kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini memaklumkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112 D Perlembagaan Persekutuan.
“Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat adalah pada 1969.
“Amaun pemberian khas baharu kepada Sabah dinaikkan daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun ini.
“Ia dijangka akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama,” jelas kenyataan berkenaan.
Pada masa yang sama, kenyataan itu turut memaklumkan kedua – dua pihak akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri itu.
“Kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan dilakukan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” jelas kenyataan itu.
Pengumuman hari ini merupakan susulan perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Kerajaan Sabah dengan kebanyakan terma telah dipersetujui pada 14 Februari lepas. – TVS