Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ATB 2 GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KELUAR PETROL DI LAHAD DATU
ATB 2 GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KELUAR PETROL DI LAHAD DATU

Gagal seludup minyak petrol nilai RM624 000 ke Filipina

ByBernama

LAHAD DATU, 13 April : Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 60,000 liter minyak petrol bernilai RM624,000 ke Filipina dengan penahanan enam lelaki berhampiran Pantai Kampung Bakarat dekat sini, Isnin lepas.

Komander ATB 2 Brig Jen Abdul Karim Ahmad berkata penahanan lima lelaki tempatan dan seorang warga Filipina berusia 23 hingga 54 tahun itu dilakukan selepas lapan anggota tentera serta dua polis yang melakukan rondaan Op Pasir Sektor Delta menemukan tiga lori tangki minyak dalam keadaan mencurigakan pada 11.30 pagi. 

“Semua lori itu tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berdekatan pantai Kampung Bakarat dan mencurigakan kerana menggunakan laluan lain untuk membawa barang kawalan terbabit selain anggota bertugas juga menyedari kehadiran kapal tongkang yang berlabuh tidak jauh dari lokasi itu. 

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan kesemua suspek yang gagal mengemukakan permit atau kebenaran untuk membawa barang kawalan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah kapal tongkang dilihat berhampiran pantai di Lahad Datu yang dipercayai ada kaitan dengan cubaan menyeludup keluar minyak petrol. Gambar My Joint Force.

Abdul Karim berkata keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM1.15 juta merangkumi 60,000 liter minyak petrol bernilai RM624,000, tiga lori tangki minyak bernilai RM400,000 serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bernilai RM128,000.

Beliau berkata berdasarkan keterangan awal suspek dan siasatan Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendapati tiada jadual ulang bekal minyak petrol di Pos Merabung sekali gus mengesyaki berlaku cubaan menyeludup minyak petrol ke kapal tongkang di pantai Lahad Datu. 

“Berikutan itu Pasukan Polis Marin diatur gerak ke lokasi kapal tongkang berlabuh namun kapal berkenaan didapati sudah tiada di lokasi tersebut,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Abdul Karim berkata pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah  ATB 2 secara berterusan dapat menjamin keselamatan perairan Pantai Timur Sabah di tahap terbaik. 

Menurutnya ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan, penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan