KUCHING, 12 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama warga Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) pada Isnin.
Seramai 200 anggota Tentera Darat (TD) daripada markas tersebut hadir berbuka puasa dan menunaikan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Kem Penrissen.
Menurut Pegawai Staf 2 Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen, Mejar Muhammad Azmey Dulhani, majlis iftar anjuran Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) tersebut untuk mengukuhkan hubungan antara organisasi tentera dengan orang awam.
Jelasnya, ia adalah selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu pelestarian kesejahteraan warga yang menekankan pengukuhan kerohanian dan akhlak warga yang seimbang.
Turut hadir bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar MarzukI dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa serta dif-dif kehormat yang lain. – TVS