MIRI, 11 April : Seramai 213 golongan asnaf serta pelajar dari tiga pusat tahfiz di Miri diraikan dalam Majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf yang dianjurkan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Majlis yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Miri itu dirasmikan oleh pengurus besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Berucap pada majlis tersebut Mohd Shibli berkata, sikap empati dalam kalangan masyarakat adalah penting agar keperluan dan kesulitan insan lain dapat dirasai.
“Kita perlu sama-sama mempunyai rasa dalam hati kita kepada mereka yang memerlukan bantuan dan memerlukan pertolongan dan sebagainya.
“Jadi saya amat berterima kasih kepada ketua bahagian Miri kerana dapat mengumpulkan kumpulannya untuk memastikan perjalanan Program Kasih Ramadan ini berjalan dengan sempurna,” katanya.
Pada majlis itu Mohd Shibli turut menyampaikan bantuan Aidilfitri berjumlah RM29,700 kepada 213 penerima dan tiga buah pusat Tahfiz di Miri.
Bantuan tersebut bertujuan bagi meringankan bebanan semasa Ramadan dan sebagai persediaan menyambut Syawal pada Mei depan.-TVS