KUCHING, 9 Apr: KUCHING, 9 Apr: Kerajaan Sarawak akan membuka lebih banyak cawangan Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) di seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata usaha tersebut bertujuan menyediakan kemudahan bagi kanak-kanak autistik untuk mendapatkan intervensi dan pemulihan dengan lebih efisien.
“Kami akan memperkembangkan OSEIC ke bahagian lain di Sarawak, termasuk luar bandar supaya tidak ada orang termasuk individu kelainan upaya (OKU) yang akan tertinggal,” katanya pada Majlis Kesedaran Autisme dan pelancaran buku untuk mengumpul dana di Pustaka Negeri Sarawak di sini pada Sabtu.
Tambahnya kesedaran tentang autisme adalah penting bagi setiap lapisan masyarakat untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD).
“Kita perlu memastikan anak kita menerima diagnosis yang betul, selain menjalankan intervensi awal dan pemulihan,” tambahnya.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri akan menyediakan kediaman khas bagi golongan autisme yang kehilangan ibu bapa dan tiada penjaga.
Antara usaha awal yang digerakkan kerajaan negeri sebelum ini adalah dalam bentuk geran sumbangan sebanyak RM4.179 juta kepada Persatuan Autisme Kuching (KAA) untuk menambah-baik blok pendidikan. – TVS